REFLEKSI
Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Pepatah Arab ada mengatakan مَنْ جَدَّ وَجَدَ – (Man jadda wajada) bermakna "sesiapa yang bersungguh-sungguh dia berjaya", dan مَنْ زَرَعَ حَصَدَ – (Man zara'a hasada) pula bermaksud "sesiapa yang menanam dia yang akan menuai hasilnya." Maka dengan itu, syukur Alhamdulillah kehadrat ilahi kerana dengan limpah rahmat dan kurnia-Nya saya dapat menyiapkan tugasan projek bagi Subjek Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu berbantukan Komputer (BMM3105) yang diberikan oleh pensyarah pembimbing iaitu En. Mohd Firdaus Bin Abd Salam dan Pn.Noemi Linus. Jujur saya akui, pada mulanya saya agak kurang faham akan kehendak soalan. Sungguhpun begitu, hasil daripada kolaborasi dan perbincangan bersama pensyarah pembimbing dan rakan sekelas, akhirnya saya tahu akan kehendak soalan dan maklumat yang perlu diselitkan dalam tugasan ini.
Secara ringkasnya, tugasan ini terdiri daripada 4 tugasan, yang mana tugasan pertama berkaitan dengan membina laman web secara individu yang kandungan utamanya ialah bahan-bahan rujukan dan hasil tugasan amali untuk minggu 1,2,3,4 dan 5. Manakala, tugasan kedua pula adalah berkaitan dengan menghasilkan pakej tutorial pembelajaran interaktif untuk mata pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah. Pakej ini menggunakan alat pengarangan yang diintegrasikan dengan elemen multimedia seperti teks, animasi, grafik, audio dan video. Tugasan 3 adalah penulisan refleksi sepanjang pelaksanaan tugasan dan tugasan 4 pula adalah kuiz yang akan dijalankan pada masa dan tarikh yang akan ditetapkan nanti.
Sebagai mukadimah, agaknya tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa soalan tugasan ini sangat sukar dan mencabar tahap pemikiran. Meskipun sebilangan isi dan fakta untuk tugasan ini boleh dirujuk di dalam buku, tetapi isi-isi lain haruslah dicari di sumber-sumber tertentu seperti internet, tesis, modul-modul dan hasil penulisan di blog. Melalui pemerhatian saya, soalan tugasan kursus ini merupakan soalan berunsurkan HOT(Higher Order Thinking) ataupun KEBAT (kemahiran berfikir aras tinggi). Pada mulanya saya seolah-olah “merungut” dan mempersoalkan mengapakan soalan tugasan yang kami perolehi ini agak sukar. Namun saya tetap optimis kerana saya tahu dan sedar bahawa soalan HOT seperti ini adalah selaras dan juga setaraf dengan program yang diambil di IPG ini iaitu tahap Ijazah sarjana muda, jadi tidak hairanlah jika soalannya agak sukar. Lagipun, sampai bilakan pelatih IPG ini,“di sajikan“ dengan soalan-soalan yang berada di takuk yang lama dan pada aras yang rendah. Setelah saya berjaya menyiapkan tugasan projek ini, ternyata banyak input mahupun ouput yang telah saya perolehi.
Menyentuh tugasan 1, daripada apa yang telah saya lalui sepanjang menyiapkan tugasan ini ternyata ianya telah memberikan saya banyak pengajaran, pengetahuan dan input yang sangat berguna. Sebelum saya melaksanakan tugasan ini, saya telah mengambil langkah proaktif iaitu dengan membuat perbincangan bersama rakan kelas dan pensyarah pembimbing mengenai kehendak tugasan 1 ini. Antara input yang sangat berguna kepada saya setelah menyiapkan tugasan 1 ini ialah saya mengetahui bagaimana cara untuk membina laman web. Jujur saya akui, sememangnya saya tidak tahu bagaimana cara untuk membina laman web mahupun blog. Pernah suatu ketika dahulu saya ingin belajar bagaimana untuk membina laman web atau blog dek kerana rasa cemburu dengan rakan-rakan saya yang lain yang mempunyai blog masing-masing. Namun, saya tidak berkesempatan untuk belajar cara membina blog. Sungguhpun begitu, setelah melaksanakan tugasan 1 ini, akhirnya saya mampu merealisasikan “impian” dan hasrat saya untuk mempunyai laman web atau blog sendiri. Saya sangat bersyukur kerana pada semester ini tugasan dan tajuk kursus BMM adalah berkaitan dengan Kemahiran Teknologi Maklumat dan Komunikasi. Rentetan daripada itu, melalui ruangan refleksi ini saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pensyarah-pensyarah pembimbing saya iaitu En. Mohd Firdaus Bin Abd Salam dan Pn. Noemi Linus diatas bimbingan dan tunjuk ajar mereka dalam mengajar saya dan rakan lain menyelesaikan tugasan ini. Kerana merekalah saya mampu membina laman web saya sendiri. Terima kasih wahai pensyarahku.
Selain itu, setelah melaksanakan tugasan ini, ternyata ianya telah memberikan saya satu kesedaran tentang betapa pentingnya mengetahui mengenai dan mempelajari Kemahiran Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK). Hal ini demikian kerana, dalam era pascaperindustrian dan pascaglobalisasi yang serba mencabar akal dan minda kita ini, penggunaan serta pengintegrasian TMK dalam menyampaikan Pengajaran dan Pembelajaran di dalam kelas sangatlah perlu bagi mempelbagaikan bahan pengajaran agar ianya lebih menarik dan sesuai dengan kecenderungan murid masa kini. Implikasinya, segala objektif mengajar guru akan tercapai dan apa yang lebih penting ialah proses PdP akan lebih menarik dan berkesan.
Melalui tugasan ini juga, sebelum melaksanakan sesuatu tugasan, saya perlu merancang dengan lebih sistematik dan apa yang dapat saya rumuskan disini ialah ternyata untuk melaksanakan tugasan ini, pelatih perlu berfikiran lebih kreatif dan progresif untuk mendatangkan hasil yang terbaik. Hal ini selaras dengan hasrat murni FPG iaitu Falsafah Pendidikan Guru yang ingin melahirkan “guru yang berpekerti mulia, berpandangan progresif dan saintifik, bersedia menjunjung aspirasi negara serta menyanjung warisan kebudayaan negara”. Hal ini juga selaras dengan tugasan 2 iaitu menghasilkan pakej tutorial pembelajaran interaktif untuk mata pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah. Menyentuh tugasan 2 ini, jujur saya akui meskipun pernah membuat pakej pembelajaran ini sewaktu berada di PPISMP Semester 1 dahulu, namun saya masih kurang mahir dan sedikit lupa bagaimanakah untuk mengaplikasikan ilmu TMK yang pernah dipelajari dahulu. Namun, dengan berbekalkan ketabahan dan bimbingan daripada pensyarah juga rakan-rakan saya, akhirnya saya mampu melaksanakan tugasan 2 tersebut. Pengajaran yang saya perolehi disini ialah, sesuatu ilmu yang kita pelajari haruslah sentiasa “digilap” dan diperbaiki serta sentiasa diaplikasikan agar ilmu yang dpelajarai itu tidak menjadi sia-sia. Setelah saya berjaya menyiapakan pakej tutorial pembelajaran interaktif itu, saya sangat berpuas hati dengan hasil kerja saya itu dan saya berjanji akan sentiasa meningkatkan mutu kerja saya dari masa ke semasa agar ianya akan menjadi lebih baik.
Bak kata orang, “tak lengkap bahtera tanpa nakhoda, tak lengkap malam tanpa purnama, tak lengkap pantai tanpa ombak badainya, dan tak lengkaplah hidup tanpa cabaran”. Sepanjang menyiapkan tugasan ini, tentu saja bohong jika saya katakan jika saya tidak mengalami sebarang masalah dan cabaran. Terlalu banyak cabaran yang perlu saya hadapi meskipun ianya sedikit sebanyak melambatkan proses untuk menyiapkan tugasan ini. Di antara cabaran dan masalah yang saya hadapi ialah masalah kekurangan waktu untuk menyiapkan tugasan ini dek kerana terlalu banyak aktiviti yang berlangsung disepanjang tempoh menyiapkan tugasan ini. Misalnya program Bina Insan Guru, Menguruskan acara watikah pelantikan JPP 2014/2015, menguruskan kunjungan pelatih IPG Kampus Kota Baru ke IPG Keningau, menghadiri kursus trasformasi siswa pendidik JPP dan sebagainya. Sungguhpun begitu, sudah menjadi tanggungjawab sebagai bakal guru, segala cabaran dan halangan haruslah ditempuhi dengan tabah dan sabar. Walaupun dibebani dengan pelbagai tugasan dan komitmen lain, saya tetap tabah dan sabar menyiapkan tugasan projek ini dengan cara “mencuri” masa yang terluang iaitu membuat 2 perkara dalam 1 masa agar tugasan ini siap sepenuhnya.
Sepanjang menyiapkan tugasan ini, saya akui saya ada beberapa kali menukar idea dan isi terutamanya RPH dan pakej pembelajaran. Hal ini demikian kerana, ada kalanya saya beranggapan bahawa idea yang saya kemukakan itu tidak bernas. Bertukar-tukar isi dan idea tersebut bukanlah suatu tindakan yang baik dimata kasar kita, kerana hal ini boleh menjejaskan kerja kita, namun saya percaya pada diri saya bahawa apa yang telah saya lakukan itu adalah benar kerana Robert F. Kennedy pernah berkata “Hanya mereka yang berani gagal dapat meraih keberhasilan“.
Di samping itu, kekuatan yang boleh saya kenal pasti setelah membuat tugasan ini ialah, ianya telah mengeratkan lagi hubungan saya dengan rakan-rakan di dalam kelas dan merapatkan jurang diantara kami semua. Sebagai contoh, semasa melaksanakan tugasan ini, saya dan rakan-rakan kelas saya saling bertanya serta berkolaborasi diantara satu sama lain mengenai idea-idea dan rakan-rakan lain membuat penambahbaikan serta memberi pandangan yang membina. Bukti lain pula ialah, melalui tugasan projek ini juga, kami semua dapat mengenali antara satu sama lain dengan lebih mendalam melalui pertukaran ilmu, perkongsian pengalaman dan juga sikap bertolak ansur iaitu melalui tunjuk ajar dan bimbingan rakan lain yang membantu saya dalam menghasilkan laman web serta pakej pembelajaran tersebut. Memang benar kata pujangga Melayu iaitu “kejayaan semanis madu, memerlukan pengorbanan sepahit hempedu”, kerana di sepanjang menyiapakan tugasan ini perasaan stress dan tertekan agak “bermaharajalela” dalam kotak pemikiran saban waktu. Namun, sudah menjadi tanggungjawab sebagai bakal guru untuk menyempurnakan segala tugasan yang diberikan meskipun ia senang mahupun sukar sekalipun.
Kesimpulannya, dari apa yang telah saya lalui sepanjang menyiapkan kerja kursus ini ialah ianya telah memberi saya satu pengalaman yang baru disamping mengajar saya erti berdikari, berkorban masa, menghayati erti hidup yang sebenar dan macam-macam lagi untuk saya jadikan panduan dimasa akan datang. Segala yang saya telah lalui ini tidak mungkin saya lupakan dan segala kesilapan serta kesilapan dalam tempoh menyiapkan tugasan ini akan saya perbaiki dari masa ke semasa. Secara tuntasnya juga, saya berharap bukan untuk tugasan ini, tetapi juga untuk tugasan-tugasan yang lain juga saya mampu menyiapkannya dengan jayanya dan saya berharap hasil tugasan saya ini akan menjadikan saya lebih mahir dalam melakukan tugasan yang akan mendatang dan mampu memberikan saya seribu satu pengetahuan dan kebaikan dalam menyediakan saya sebagai seorang bakal guru di masa akan datang kelak. Sekian, terima kasih.
Di sediakan oleh :
FAIZAL BIN DUMIT
PISMP BM SEM.3